Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Untung ke Melabur dalam Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ?

Dua, tiga tahun ini Neelofa aktif mempromosikan satu skim pelaburan unit amanah awam yang dinamakan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB). Walaupun anda mungkin seorang yang tidak berminat sangat dengan instrumen pelaburan, saya pasti anda pernah mendengar atau melihat iklan-iklan di papan iklan semasa memandu kenderaan, di televisyen, di radio mahupun ketika melayari akaun sosial media anda, yang mana Neelofa diangkat menjadi duta mempromosikan skim ini. Pengaruh Neelofa bukan sahaja sebagai golongan selebriti popular di Malaysia, tetapi sebagai ikon usahawan wanita berjaya di Malaysia yang turut tersenarai dalam senarai bawah 30 Forbes Asia baru-baru ini, sememangnya adalah satu taktik bijak pengurusan AHB kerana telah berjaya mendapatkan kepercayaan serta membuka mata ramai para bumiputera terutama generasi muda untuk melabur.

Amanah Hartanah Bumiputera

Amanah Hartanah Bumiputera

Jadi, apa sebenarnya Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ini?Jangan terkeliru, ini tidak berkait langsung dengan syarikat AHB Holdings Berhad. AHB yang ingin saya ceritakan disini adalah dana unit amanah yang dilaburkan dalam prospek hartanah komersial di lokasi-lokasi panas dalam Malaysia. AHB diselia dibawah syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) – subsidiari Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera. AHB sebenarnya sudah dilancarkan sejak dari tahun 2010 lagi dengan saiz permulaan tabung dana adalah 1 bilion dengan share price sebanyak RM1 per unit. Oleh kerana sambutan hangat hasil daripada pendapatan kukuh daripada sewaan hartanah, dana AHB telah habis dibeli, mendorong PHB untuk menambahkan lagi dana AHB sebanyak 1.5 bilion pada tahun 2016 dan 500 juta pada tahun 2017.

Antara bangunan yang menjadi sumber pendapatan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ialah Nu Sentral, Menara BT, DEMC Specialist Hospital, Wisma Consplant, Dataran PHB, Menara Bumiputera-Commerce, CP Tower dan Tesco Setia Alam. Jumlah keseluruhan bangunan setakat ini dicatat sebanyak 19 bangunan.

Apa yang seronok sangat dengan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) ini? Senang cerita, dapat menjana duit daripada wang simpanan anda. Jika anda biarkan duit anda di akaun bank simpanan biasa anda, mungkin anda perasan setiap akhir tahun ada tambahan beberapa ringgit, tapi nilainya sangat rendah jikan dibandingkan dengan pulangan jika anda menyimpan atau istilah betulnya membeli dana AHB ini. JIka dibandingkan dengan pembelian saham pula, AHB lebih selamat kerana ia adalah pelaburan risiko rendah.
Biasanya kalau bab pelaburan, semua akan sibuk nak tahu tentang pengiraan dividen. Berdasarkan Dividend History, pulangan dividen AHB adalah berjumlah lebih kurang 6% setahun. Berbanding pelaburan lain, AHB agak unik kerana membuat agihan dua kali setahun iaitu pada Mac dan September. Dividen yang terbaru ialah untuk Mac 2018 ini iaitu sebanyak 3.10 sen seunit.

AHB vs ASB – Mana yang lagi bagus?

Secara teknikalnya, ASB terlibat dalam ekuiti manakala AHB dalam pemilikan hartanah. ASB memang suatu instrumen pelaburan panas. Baru-baru ini juga, atas sambutan hangat ASB telah menambah keluarga baru iaitu ASB2 yang juga telah penuh kuota 10 billion unitnya. Manakala ASB1 tiada had saiz tabung dana, tetapi pembelian dana dihadkan hanya RM200,000 seorang. Dari segi dividen, ASB1 masih kekal nombor satu antara banyak-banyak instrumen pelaburan di Malaysia ini, dengan jumlah dividen sekitar 7% setahun. ASB2 agak mengecewakan kerana agak sedikit berbanding dengan ASB1, iaitu hampir lebih kurang dengan AHB – sekitar 6% setahun.

Kedua-duanya juga disediakan skim pinjaman untuk pelaburan, yang mana memang sangat menguntungkan untuk hari tua kita. Jika anda pilih bayaran paling lama iaitu 25 atau 30 tahun, anda tidak perlu mengeluarkan sesen pun duit anda untuk bayaran bulanan bermula dari tahun ke-2 pinjaman kerana dividen hasil pelaburan adalah cukup untuk membayar baki 24 atau 29 tahun mendatang. Malah untuk ASB1, kebiasaanya akan ada lebihan seribu dua setiap tahun. Dividen tahun lepas adalah agak tertinggi dalam beberapa tahun ini kerana terdapat bonus ulang tahun juga. Bagi pelaburan maksimum RM200 ribu, pelabur mendapat hampir RM17 ribu. Ditolak dengan jumlah bayaran bulanan sebanyak RM13 ribu setahun bagi pinjaman jumlah maksimum dengan tempoh paling lama, maka ada lebihan sebanyak RM4 ribu untuk pelabur. Manakala AHB kemungkinan anda perlu tambah duit sendiri setiap tahun. Tapi, jangan risau kerana jumlahnya mungkin terlalu sedikit jika dibandingkan dengan apa yang akan anda dapat nanti.

Dividen ASB juga boleh dikira untuk dividen atas dividen. Dan walaupun dihadkan kepada 200 ribu unit sahaja seorang, had itu boleh ditingkatkan untuk menampung dividen masuk, dan bergantung kepada budi bicara pegawai bertugas. Manakala, dividen AHB pula akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank simpanan masing-masing.

Namun, kedua-duanya tiada beza sangatlah. Sangat bagus kerana pelaburan yang patuh syariah dan telah ditolak zakat awal-awal serta tiada caj tambahan lain seperti caj pengeluaran.

Jadi, tunggu apa lagi? Cepat-cepatlah pergi buka akaun Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebelum kuotanya penuh lagi! Anda boleh pergi ke ejen AHB iaitu MayBank dan AmBank ataupun anda juga boleh membuat pelaburan AHB melalui KWSP masing-masing.

Leave a Reply