free
web stats

Tips Bakal Pengantin Wang Hantaran Perkahwinan

Pada entri Kurangkan Kos Perkahwinan aku ada cakap yang aku akan berkongsi mengenai wang hantaran perkahwinan yang bersesuaian daripada pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin perempuan.

Oleh itu, di sini aku ingin berkongsi bersama anda sedikit mengenai wang hantaran perkahwinan yang ideal supaya pasangan pengantin tidak akan hidup dalam keadaan berhutang selepas berkahwin.

wang hantaran perkahwinan
wang hantaran perkahwinan

Jangan Minta Wang Hantaran Perkahwinan Dengan Duit Yang Terlalu Banyak

Wang hantaran perkahwinan yang bersesuaian sebaik-baiknya adalah nilai hantaran ini tidak terlalu besar. Tidak ada gunanya kalau pengantin lelaki terpaksa berhutang ataupun bergadai harta benda hanya bagi mendapatkan hantaran RM10,000.

Itu kalau yang keluarga pengantin perempuan meminta RM10,000. Kalau minta lebih daripada itu, lebih banyak la hutangnya. Jika biar pengantin lelaki hutang terlalu banyak, nanti lepas kahwin mungkin masalah kewangan boleh menjadi satu masalah yang besar dan ia mungkin boleh mengakibatkan penceraian. Jadi, mengapa nak susahkan pengantin lelaki.

Bukankah lepas kahwin pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan menjadi pasangan dan tinggal bersama. Anda berdua-dua akan hidup dan berusaha bersama untuk mengekalkan kebahagian rumah anda. Maka perlulah bertimbangrasa antara satu sama lain bagi kedua-dua keluarga semasa minta wang hantaran perkahwinan.

Jangan Buat Kahwin Sampai Jadi Beban Kepada Mana-Mana Pihak

Jika perkara ini berlaku, tiada lagi hadiah duit dan harta yang boleh pengantin lelaki itu berikan kepada isterinya. Ini kerana, mereka sama-sama menanggung bebanan hutang berkahwin yang belum habis.

Pengantin lelaki terpaksa memberikan mahar iaitu mas kahwin dan wang hantaran perkahwinan yang tinggi. Ini akan menambah beban dan tekanan kepada pengantin lelaki.

Pihak Lelaki Mungkin Akan Ada Banyak Aduan Selepas Kahwin

Peluang pengantin lelaki mengungkit selepas berkahwin juga akan jadi tinggi. Sebagai contoh apa yang mungkin berlaku adalah seperti, “Saya bayar hantaran sampai RM10,000 untuk berkahwin dengan awak. Tapi sekarang baru saya tahu awak ni masak pun tak pandai, basuh baju pun malas, rumah bersepah-sepah macam rumah sampah. Hantaran yang sungguh mahal yang saya bagi kepada keluarga awak, tapi isteri yang dapat macam tak ada kualiti. Saya sekarang kena tanggung hutang bank sehingga 15 tahun. Saya sekarang rasa amat menyesal untuk berkahwin dengan awak.”

Sebagai isteri, apa pendapat anda jika anda terima percakapan seperti ini daripada suami yang sepatutnya merupakan kekasih yang patut sayang dan cinta anda.

Nilai Wanita Tidak Boleh Dinilai Dengan Wang

Nilai seorang wanita itu tidak dapat kita nilai melalui wang ringgit. Mahar yang diberikan adalah sekadar penghargaan dan kehormatan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan, kerana sudi menjadi temannya dan berkongsi suka dan duka bersama selepas kahwin dan duduk bersama.

Allah berfirman dalam surah An-Nisaak, ayat 4 yang bermaksud, “Berilah mas kahwin iaitu mahar kepada wanita yang kamu nikahi. Ini adalah sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.“

Ini bermaksud, pengantin lelaki yang patut mencadangkan nilai mas kahwinnya, bukan daripada keluarga pengantin perempuan. Kita akan mengetahui kemampuan dan keikhlasan lelaki yang ingin menikahi anak perempuan kita nanti.

Tetapi pada zaman yang moden ini, masyarakat Muslim sudah mula berubah dan banyak daripada mereka sudah tidak mempraktikkan seperti apa yang dituntut oleh agama. Wang hantaran perkahwinan mula ditukar menjadi mahar, iaitu mas kahwin.

Hadiahkan mas kahwin dengan nilai yang berbaloi kepada pasangan. Bukan lagi nilai puluhan ringgit ataupun wang yang kurang daripada RM200. Dengan memindahkan wang hantaran sebagai mas kahwin, tiada wang hantaran perkahwinan lain lagi untuk keluarga pengantin perempuan.

Pihak Pengantin Perempuan Pun Kena Biayai Kos Kahwin

Pihak pengantin perempuan perlu menggunakan duitnya sendiri sekiranya mahu membiayai kos menyewa baju pengantin dan pelamin. Jika ingin mengelakkan ini boleh baca Tips Kurangkan Kos Perkahwinan.

Sebagai bakal suami, pastikan wang beribu ringgit itu dijadikan mas kahwin untuk pasangan kita. Pastikan mengikut kadar kemampuan, ikhlas, dan tidak membebankan kita selepas berkahwin. Sebagai bakal isteri, pastikan kita menetapkan wang hantaran perkahwinan sebagai mas kahwin ketika upacara akad nikah.

Duit itu juga boleh digunakan sebagai bayaran wang muka untuk sebuah apartmen, tanah ataupun pelaburan dalam bank. Elakkan menggunkan wang itu untuk belanja keperluan kahwin yang membazir seperti kenduri, pelamin, hiasan, ataupun cenderahati yang tidak membawa faedah kepada kita.

Menjadi raja sehari hanya dongengan rakyat pada zaman dahulu. Mereka bercita-cita ingin menjadi raja, tetapi di atas singgahsana sewa hanya untuk sehari. Sebagai bakal pengantin berbelanjalah dengan bijak.

Setakat ini dahulu perkongsian aku mengenai wang hantaran perkahwinan yang sesuai diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Jika ada perkongsian lain nanti akan aku kongsikan lagi. Sekian, terima kasih.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *