Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Selamatkan Bandaraya Kuching Daripada Pesalah Trafik

Terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi menjadi tulang belakang kepada blog tidak seadaanya ini. Sepanjang berblog inilah kali pertama saya menerima beberapa email yang memuji perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

Syukur Alhamdulillah, ada pihak membuka mata melihat hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini. Pujian melangit itu Insya Allah akan saya simpan sebagai azimat dan modal perjuangan, seiring dengan genggam bara api biar sampai jadi arang. Jangan risau saya akan sentiasa mengikut resmi padi, semakin tunduk bila semakin berisi.

Sebelum memulakan artikel, izinkan saya berceloteh sedikit mengenai kegagalan pembaca memperbetulkan kesilapan yang sengaja saya buat untuk menguji sejauh mana anda prihatin dengan peribahasa melayu semalam.

Saya rasa ini bukan disebabkan oleh sifat culas anda, sebaliknya sifat terlalu yakin anda kepada penulis. Sebagai peringatan sesama kita, suka saya umumkan bahawa peribahasa yang saya maksudkan sebenarnya berbunyi “alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan” yang membawa maksud ‘Jika kita melakukan sesuatu pekerjaan, biarlah kita lakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sempurna’ atau versi negatifnya ‘Kalau sudah terlanjur jahat, biarlah diperoleh hasil daripadanya’.

kuching sarawak

Photo credited: Tripadvisor

Ketahuilah, penulis tidak kira siapa sahaja, sama seperti anda semua. Manusia biasa yang tidak lari daripada membuat kesilapan. Sekiranya ternampak kekhilafan secara sengaja atau pun memang tidak disengajakan, jangan segan dan malu untuk meringankan tangan atau mulut dengan membuat teguran. Biar sama-sama belajar daripada kesilapan.

Berbalik kepada tajuk artikel diatas, hujung minggu yang lepas saya, anak-anak dan suami berpeluang ke Kuching Sarawak atas satu tiket tugasan rasmi. Satu peluang yang cukup saya nantikan selama ini. Ditambah pula negeri Sarawak secara kebetulan menjadi destinasi bagi rancangan Sure Heboh masa itu, menambahkan lagi semangat mengembara dan adrenalin saya.

Cuma apa yang membuat saya merasa sedikit terkilan ialah keadaan lalulintasnya yang cukup menyakitkan mata. Walaupun kesesakan tersebut tidaklah seteruk Kuala Lumpur, tetapi sikap samseng sesetengah pemandu yang enggan mematuhi peraturan lalulintas sudah cukup merimaskan saya sepanjang berada dinegeri tersebut, antaranya:

  • Pemandu memandu dalam keadaan laju & melulu
  • Pemandu tidak mematuhi lampu isyarat
  • Meletakkan kenderaan sesuka hati walaupun bukan ditempat yang khusus
  • Tempat meletak kenderaan awam ditepi jalan raya ditutup sebagai milik peribadi
  • Tidak memberi keutamaan jalan kepada pemandu sepatutnya dan gagal memberikan tanda isyarat semasa membelok
  • Terlalu banyak kenderaan yang mempunyai cermin sisi yang gelap
  • Memandu motosikal dengan melebihi muatan – jangan terkejut jika terserempak dengan motosikal yang dibonceng seramai 4 orang!

Dan pelbagai lagi kesalahan lalu lintas lain yang malas saya sentuh. Mungkin ada suara-suara sumbang yang akan mempertahankan dan berkata “alah semua tempat pun ada samseng jalan raya, apa nak hairan?” selepas membaca artikel ini. Tapi percayalah, kesalahan trafik disini jauh lebih menonjol daripada mana-mana bandaraya yang pernah saya lawat selama ini.

Untuk membuktikannya buat tinjauan sendiri terutamanya di kawasan sekitar Batu 3 sehinggalah di Batu 7. Selepas itu beritahu saya, adakah saya diantara mereka yang bercakap kosong dan menegakkan benang yang basah.

Minta maaf Kenyalang, bukan niat saya menconteng warna pada bulu pelepah ‘anda’ yang sememangnya sudah dicipta sebegitu indah sekali, apa lagi berniat menyebarkan perihal yang buruk mengenai ‘anda’. Cuma fahamilah, ini sekadar luahan ikhlas hati saya yang minta transformasi dilakukan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Leave a Reply