Rumah Mesra Rakyat – Skim Bantuan Perumahan Anda Mungkin Tidak Tahu

Sekarang ini, kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, masih lagi dalam hawa kepanasan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung baru-baru ini.

Pilihan raya pada Mei 2018 yang terkini mencatat sejarah apabila kerusi Perdana Menteri tidak lagi memihak kepada Barisan Nasional dan dimenangi oleh bekas mantan Perdana Menteri kita sendiri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertukar haluan dan menyertai perjuangan Pakatan Harapan baru-baru ini.

Apakah harapan anda dengan pemerintahan di bawah kerajaan baharu ini? Mungkin anda mahukan lebih bantuan kerajaan seperti skim Rumah Mesra Rakyat?

rumah mesra rakyat
rumah mesra rakyat

Banyak Bantuan Yang Ditawarkan Oleh Kerajaan

Kerajaan kita sebenarnya banyak menyediakan bantuan-bantuan dan peruntukan untuk kemudahan rakyat dari dulu lagi. Cuma mungkin kerana kurang pendedahan menyebabkan kita tidak mengetahui akan kewujudan bantuan tersebut.

Antaranya jika dipandang daripada sudut bantuan perumahan sahaja adalah seperti contoh yang paling diketahui ialah bantuan RUMAWIPT dan yang agak terbaru seperti PR1MA. Namun, tahukah anda tentang Rumah Mesra Rakyat?

Memahami Apa Itu Skim Rumah Mesra Rakyat

Skim Rumah Mesra Rakyat yang kini dikenali sebagai Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M). Ia adalah satu program perumahan mampu milik yang sebenarnya bermula sebagai satu program bantuan untuk keluarga nelayan di Terengganu. Program ini dilaksanakan oleh satu syarikat yang dinamakan pada waktu itu sebagai SPNB Terengganu Sdn. Bhd.

Skim ini pertama kali diperkenalkan adalah pada sekitar tahun 2002 iaitu ketika kerajaan di negara Malaysia masih di era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Muhamad yang merupakan  Perdana Menteri Malaysia ke-4 waktu itu.

Program ini telah berevolusi secara positifnya dan masih berperanan penting dalam membantu rakyat bukan sahaja di negeri Terengganu, malahan telah berkembang perlaksanaannya ke seluruh Malaysia.

Rangka pelan penubuhan program ini adalah dikhaskan untuk mereka yang berpendapatan rendah, tiada rumah atau memiliki tanah tetapi keadaan rumah daif.

Syarat-syarat dan Kelayakan Untuk Memohon Rumah Mesra Rakyat

Sebelum kita melangkah dengan lebih jauh, adalah lebih baik kita ketahui syarat kelayakan bagi permohonan program ini supaya tidaklah kecewa sekiranya setelah bersusah payah mengisi borang tetapi akhirnya permohonan anda ditolak pula dengan mentah-mentah kerana tidak mencukupi syarat atau anda tidak layak untuk memohon rumah mesra rakyat ini.

Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi adalah seperti berikut:

  1. Pemohon mesti adalah warganegara Malaysia yang berusia dari 18 hingga 65 tahun yang berpendapatan antara RM750 sehingga RM3,000 sebulan.
  2. Pemohon mesti tiada rumah atau memiliki rumah yang berkeadaan daif.
  3. Pemohon yang mempunyai tanah/tapak di mana ia tiada masalah gadaian atau sekatan.
  4. Jika pemohon bukan tuan empunya tanah, maka pemohon haruslah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah terbabit.
  5. Minimum keluasan tanah : 2800 kps.

Program Ini Tidak Lagi Dibiayai Penuh Oleh Kerajaan

Sebelum itu, program ini dibiayai penuh oleh kerajaan. Tetapi sekarang, harga bagi satu rumah ini ialah RM 65 ribu. Dan kerajaan masih lagi memberi subsidi iaitu cuma sebanyak RM 20 ribu.

Maka amaun yang perlu dibayar oleh pemohon hanyalah RM 40 ribu. Sekiranya pembayaran dibuat melalui pinjaman bank, bayaran bulanan yang anda akan perlu bayar adalah di sekitar RM 150 sehingga RM 300. Walaubagaimanapun, semua ni masih bergantung kepada syarat-syarat dan terma daripada bank pilihan anda.

Contoh rekabentuk bagi rumah ini anda boleh lihat di laman web rasmi SPNB. Ianya boleh direka dalam pelbagai bentuk dan bukan terhad kepada satu atau dua rekabentuk sahaja. Keluasan rumah yang boleh dibina adalah 1,000 kps yang terdiri daripada 3 bilik dan 2 bilik air.

Rumah Mesra Rakyat Plus

Program penambahan terbaru bagi skim ini ialah Rumah Mesra Rakyat Plus. Skim ini juga diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu mereka yang mempunyai tanah tetapi tidak memenuhi syarat minimum permohonan RMR1M biasa.

Harga bagi rumah ini ialah antara RM 100,000 sehingga RM 130,000 dan berkeluasan 1,000 sehingga 1,200 kps. Pakej tambahan lain yang disertakan adalah seperti penyediaan tapak, kelengkapan almari serta kabinet dapur, kelengkapan ciri keselamatan dan juga pagar.

Jika anda berminat untuk memohon skim rumah ini, boleh anda buat permohonan dengan pihak berkenaan. Permohonan skim Rumah Mesra Rakyat ini bukan susah sangat tetapi sebaliknya agak mudah. Anda bolehlah mendapatkan borang pemohonan di pejabat wakil rakyat kawasan anda ataupun dapatkannya di lawan sesawang SPNB iaitu di pautan ini : http://www.spnbmesra.com.my/.

Selepas anda perolehi borang itu, anda perlu pastikan bahawa borang anda telah diisi dengan lengkap dan dihantar kembali ke pejabat cawangan SPNB beserta dengan pengesahan sokongan daripada wakil rakyat.

Untuk maklumat lanjut seperti pelan rumah dan sebagainya, anda bolehlah merujuk terus ke cawangan SPNB berhampiran anda atau alamatkan ke:

emel rasmi SPNB : spnb.mesra@spnb.com.my

atau

hubungi di nombor telefon berikut : +603 2618 5555.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *