Mohon Bantuan AKPK – Susun Semula Hutang Anda

Hari ini aku nak berkongsi tips bagaimana untuk menyusun semula hutang anda yang mungkin semakin hari semakin bertimbun dan sudah menampakkan tanda-tanda kegagalan mengurus pergerakkan hutang anda.

bantuan akpk

Bagaimana hendak mengetahui anda sebenarnya tidak sihat didalam menguruskan wang anda?

1. Apabila hutang anda sudah tertunggak dua atau melebihi tiga bulan.

2. Apabila anda mula tidak menjawab sebarang panggilan talipon dari pihak-pihak bank.

3. Apabila pihak ketiga atau pihak pemungut hutang mula menalipon anda.

4. Apabila anda mula menerima mesej SMS menyatakan bahawa hutang anda sudah tertungak beberapa bulan dan perlu membayar sebahagian untuk mengelak tindakkan lanjut.

5. Apabila anda mula takut melihat posmen datang kerumah anda.

6. Apabila anda mula takut melihat surat-surat tuntutan hutang didalam peti surat rumah anda.

7. Apabila anda tiba-tiba terjaga diwaktu tengah malam dan ketika itu anda dapati fikiran anda sedang memikirkan soal hutang walhal anda tidur ketika itu.

8. Apabila anda melihat orang lain seperti saudara mara, jiran tetangga seperti musuh anda dan anda cuba melarikan diri dari diperhati oleh mereka.

9. Apabila anda menganggap orang lain itu sebenarnya sombong dan kedekut kerana anda tidak dibantu atau diberi wang berhutang dengan mereka.

10. Apabila isteri anda mula membuat bising disebabkan sikap anda yang tidak mahu membuka mulut dan muka anda yang masam beberapa hari sudah.

Itu lah antara beberapa petunjuk yang menunjukkan bahawa anda sebenarnya memerlukan lebih daripada seorang yang boleh mendengar pemasalahan anda itu.

Apakah ada tempat untuk anda menceritakan masalah kewangan anda ini?

Bank Negara Malaysia telah menubuhkan satu unit yang dipanggil Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang berfungsi menyediakan perkhidmatan kaunseling dan kawalselia pengurusan kredit rakyat Malaysia yang mempunyai masalah hutang dengan pihak bank. Jadi apabila anda mempunyai masalah yang mungkin menjejaskan anda untuk membuat pembayaran kepada pihak bank seperti hutang kad kredit, rumah, kereta dan sebagainya maka anda bolehlah merujuk kepada pejabat AKPK terdekat.

Juga dimaklumkan bahawa pihak AKPK sebenarnya akan memberikan bantuan untuk mereka yang menghadapi masalah pembayaran hutang bank ini SEKALI seumur hidup sahaja.

Apakah yang diperlukan untuk memohon bantuan AKPK?

Untuk mendapatkan bantuan dari pihak AKPK antara perkara-perkara yang perlu di jelaskan ialah:

1. Pemohon hendaklah membawa kesemua penyata bank yang menunjukkan jumlah hutang terkini kepejabat AKPK dan mengisi borang disana.

2. Setelah melalui sesi kaunseling anda akan di terangkan apakah syarat-syarat nya yang perlu dipatuhi oleh pemohon. Pihak AKPK akan memberikan cadangan kepada pemohon jumlah bayaran tetap terrendah kepada bank-bank tersebut setiap bulan yang perlu dibayar kepada pihak AKPK. Kemudiannya wang itu akan diagih-agihkan kepada akaun bank-bank penghutang tersebut oleh pihak AKPK.

3. Pemohon perlulah menyertakan bersama bukti pendapatan terkini seperti penyata akaun bank (akaun semasa atau simpanan) atau penyata cukai pendapatan terkini.

4. Setelah pihak AKPK berpuas hati dengan maklumat-maklumat yang diberikan oleh pemohon maka anda dikehendaki pergi ke mana-mana cawangan Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan status report terkini hutang anda. Anda hanya perlu kesana dan tunjukkan kad pengenalan anda sahaja dan kemudian pihak BNM akan mencetak satu senarai lengkap hutang anda. Report tersebut perlu di serahkan kepejabat AKPK secepat mungkin.

5. Setelah anda menyerahkan report hutang anda yang di ambil dari BNM anda akan dikehendaki memasukkan semua maklumat hutang anda dan pendapatan anda secara online di pejabat AKPK. Dan apabila selesai maka selesailah proses permohonan. Anda akan dikehendaki membayar bayaran bulanan permulaan untuk bulan tersebut barulah pihak AKPK akan memulakan rundingan dengan bank-bank berkenaan.

6. Selepas lebih kurang 7-14 hari proses tersebut anda akan menerima surat pengesahan dan kelulusan daripada pihak AKPK. Maka bermulalah era baru pengurusan kredit anda oleh anda bersama AKPK.

7. Perlu diingat anda tidak boleh tertinggal untuk membayar walau sebulan kepada pihak AKPK kerana yang demikian akan menyebabkan perjanjian anda terbatal dan anda akan berhadapan tindakan terus dari pihak bank-bank yang anda berhutang itu. Oleh itu janganlah lalai atau lupa akan tanggungjawab untuk membayar nya.

8. Adalah tanggungjawab anda untuk menguruskan dan menyemak sendiri baki hutang anda dengan bank-bank dan anda mempunyai pilhan untuk menyelesaikan hutang tersebut jika anda berkemampuan terus dengan bank-bank tersebut.

Sehingga hari ini sudah hampir lapan puluh ribu rakyat negara ini menikmati pertolongan dan pengurusan kredit ini dan ramai yang sudah menyelesaikan kebanyakkan hutang mereka tanpa dikenakan apa-apa tindakan mahkamah oleh bank yang memberi hutang.

AKPK sebenarnya bukanlah penyelesaian mutlak keatas masalah kewangan yang kita hadapi tetapi ia adalah sebagai salah satu medium untuk kita memastikan sumber kewangan kita dapat memenuhi kewajipan kita membayar semua hutang kita walaupun pendapatan kita sudah menurun disebabkan oleh sebab-sebab diluar jangkaan kita. Maka apabila keadaan ekonomi kita menjadi lebih baik adalah diharapkan dapat kita mempercepatkan pembayaran balik kepada bank-bank tersebut supaya kita dapat melepaskan diri dari semua hutang tersebut secepat mungkin.

Namun jika anda tetap dengan banyaran ansuran AKPK maka anda mungkin terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan kesemua hutang tersebut yang menyaksikan anda sebenarnya membayar lebih dari apa yang sepatutnya anda bayar.

Leave a Reply