free
web stats

Melawat Bandar Lama Fes Tapak Warisan Sejarah

Di Fes, saya bukanlah pelawat tetapi pelajar dan menetap di sini. Bandar Fes kaya dengan sejarah dan tinggalan warisan dunia yang masih kekal terpelihara sehingga ke hari ini.

Fes Tapak

Fes Tapak

Bersyukur rasanya, dapat melihat peninggalan bandar lama yang masih utuh. Disebutkan, Fes dibina pada tahun 182 Hijriah bersamaan 808 Masihi. Kira-kira 1251 tahun umurnya.

Perkara Menarik Di Fes

1. Tapak Warisan Dunia.
Bandar lama Fes menjadi tapak warisan sejarah yang diletakkan di bawah UNESCO. Seni binanya didirikan di atas batu bata dan tanah liat, masih kekal sehingga hari ini serta masih berpenghuni.

2. Universiti Tertua Di Dunia.
Di sini juga terdapat universiti tertua di dunia iaitu Universiti Qarawiyyin. Asalnya didirikan di sebuah Masjid Qarawiyyin pada tahun 859 Masihi oleh Fatima Fihri sebagai madrasah. Ianya menyediakan pengajian daripada peringkat rendah hinggalah peringkat ijazah dalam bidang ilmu-ilmu Islam.

3. Ukiran Yang Cantik.
Fes terkenal sebagai sebuah bandar kesenian. Di mana sahaja kita berjalan, kita akan menemui ukiran-ukiran yang memukau mata memandang. Malah, di Maghribi ini terdapat dua aliran dalam seni ukiran iaitu seni ukiran Fes dan seni ukiran Tetouan.

4. Bandar Pembuatan Barang Kulit.
Jika kalian sukakan barangan kulit, maka Bandar Fes adalah tempat yang sesuai untuk membeli barangan tersebut. Di sini, kalian akan menemui pelbagai jenis barangan kulit, bermula daripada baju kulit hinggalah tali pinggang kulit. Malah, di sini juga kalian boleh melawat kilang memproses kulit.

Tempat Menarik Dan Cara Ke Sana

Bandar Lama Fes. Bandar ini terletak agak jauh daripada Bandar Baru Fes. Oleh itu, kalian perlu mengambil teksi untuk pergi ke Bandar Lama Fes. Bayaran bagi teksi daripada stesen keretapi Fes ke bandar lama adalah MAD 10 – MAD 15 bergantung kepada tempat berhenti. Di bandar lama ini terdapat banyak pintu dan pintu ini mengelilingi bandar ini.

Jami’ Qarawiyyin. Pelawat yang ingin singgah ke universiti ini perlulah berhenti di Bab Rasif dengan teksi kerana ianya paling dekat dengan masjid ini. Dalam masjid inilah bermulanya pengajian Universiti Qarawiyyin yang ada pada hari ini. Daripada pintu gerbang ini, kalian hanya perlu berjalan kaki mengharungi pasar untuk menuju ke masjid ini.

Jami Qarawiyyin

Kilang Memproses Kulit. Daripada Jami’ Qarawiyyin, kalian boleh juga melawat kilang memproses kulit. Di sini, kalian akan melihat bagaimana mereka mengeringkan kulit, mewarnakan kulit serta menjadikannya selipar, baju kulit dan lain-lain. Boleh dikatakan, di sinilah segala proses berlaku bagi pembuatan kulit. Namun, tempat ini tidak sesuai bagi orang yang alahan dengan bau-bau tengik yang datang daripada tahi-tahi burung serta air yang berbau busuk.

Muzium Senjata

Muzium Senjata. Muzium ini terletak di atas sebuah bukit. Ianya menyimpan pelbagai jenis senjata lama seperti senapang pelbagai jenis, pedang pelbagai jenis dan peralatan perang seperti baju besi dan lain-lain. Harga teksi daripada Bandar Lama Fes ke sini adalah sekitar MAD15.

Barang Yang Murah Di Fes

Percutian tidak boleh dipisahkan dengan membeli belah. Oleh itu, saya cadangkan, kalian membeli 3 barang ini jika melawat Fes.

1. Barang kulit. Sememangnya barang kulit menjadi kegilaan ramai orang kerana ketahanan dan rupa bentuknya yang cantik. Di sini, kalian boleh mendapat barang kulit dengan harga yang murah. Bayangkan, baju kulit di Maghribi dijual dengan harga serendah RM180 sehelai. Murah kan?

2. Jam tangan lama. Jika kalian penggemar jam tangan lama yang original dan berjenama, kalian boleh mencarinya di sini. Namun, ada beberapa kedai sahaja yang menjualnya dengan harga yang murah. Jadi, kena pandai pilih kedai.

3. Jallabah. Ianya sejenis fesyen jubah yang semakin popular di Malaysia. Jubah ini terdapat hoodie di kepala. Namun, ada sejarah dan kegunaannya. Ramai yang tidak tahu sejarah dan kegunaannya serta menganggapnya hanyalah fesyen semata-mata dan menganggu ketika solat.

Penutup

Sesiapa yang berminat untuk ke Maghribi dan melawat bandar ini, jangan lupa hubungi saya. Insya Allah, saya akan membantu kalian bagi melawat tempat-tempat tersebut. Saya masih berbaki setahun lagi pengajian di sini. Jika, tidak berkesempatan, boleh sahaja meminta bantuan pihak persatuan pelajar Malaysia untuk menguruskan percutian kalian.

Baca juga:

Leave a Reply