Kes Perceraian

Kes Perceraian Di Malaysia

Terdetik dihati untuk menulis tentang isu hak wanita ini dalam kes penceraian. Kebetulan rakan blogger saya ada tag saya di Facebook post.

Saya baca dari mula sehingga akhir penulisan beliau dan simpati dengan nasib yang menimpa beliau sebagai ibu tunggal yang digantung tak bertali. Saya faham sangat…

…berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Zaman sekarang, perceraian dah jadi satu perkara biasa. Bila dah tak suka dan dah tak sayang, terus bercerai… Senang cerita dan semudah itu.

Saya agak sensitif bila mendengar cerita sebegini. Boleh dikatakan dikalangan rakan-rakan saya ramai yang mengalaminya.

Kes Perceraian
Kes Perceraian

Ada yang digantung tak bertali, ada yang bercerai secara baik, ada yang bercerai sebab tak tahan suami kaki pukul, kaki judi, kaki perempuan dan ada yang selepas bercerai; nafkah anak tak bagi langsung… Yang ni paling banyak berlaku.

Masalah rumah tangga jangan sesekali babitkan anak-anak walaupun sudah bercerai. Sebagai ibubapa, kita kena jalankan tanggungjawab yang betul.

Banyak yang berlaku, bekas suami selepas bercerai langsung tidak memberi nafkah anak mengikut tuntutan di mahkamah Syariah.

Beban sepenuhnya ditanggung oleh wanita dalam membesar dan menyara anak-anak. Yang ini memang tidak adil…

Kes Di Mahkamah Syariah

Saya pernah temankan rakan ke mahkamah syariah uruskan kes perceraian dia.

Korang tahu tak di mahkamah syariah kita boleh dengar dan tengok kes perceraian yang dibicarakan. Perbicaraan dilakukan didalam mahkamah secara terbuka mengikut giliran kes.

Dalam satu sesi perbicaraan tu ada lebih 10 kes dibicarakan.

Wanita dan lelaki diasingkan. Dibarisan tempat duduk kita sama ada defendan, plantif dan yang hanya datang mendengar semua duduk sekali.

Semasa mendengar perbicaraan tu, ada kes yang buat saya sedih dan ada kes yang buat saya tergelak dan macam tak logik sebab mereka nak bercerai.

Contoh Kes Pertama

Ada satu kes seorang wanita melayu menuntut cerai dari suaminya yang berbangsa Bangladesh.

Hakim bertanya satu persatu.

“Dimana kamu bernikah?” tanya hakim.

“Di Bangladesh” jawab wanita tu.

“Macam mana cara kamu bernikah, ada akad nikah, saksi dan wali tak?” tanya hakim.

“Ada jurunikah, cuma tiada wali dan saksi. Isi borang dan sah jadi suami isteri” jawab wanita tu.

“Dalam bahasa apa kamu bernikah” tanya hakim.

“Dalam bahasa Bangladesh” jawab wanita tu.

“Adakah kamu faham apa yang terkandung dalam dokumen atau apa yang dikatakan oleh jurunikah kamu itu?” tanya hakim.

“Tak faham satu perkataan pun” jawab wanita tu.

“Habis macam mana kamu tahu kamu dah jadi isteri dia, kalau kamu tak faham sepatah pun atau pakai bahasa isyarat ke?” tanya hakim sambil buat muka blur.

Yang ni saya ketawa… hehe

“Ada bawa dokumen yang menyatakan kamu suami isteri yang sah?” tanya hakim.

“Tiada salinan dokumen ketika bernikah” jawab wanita tu.

Saya tengok hakim tu geleng kepala dan putuskan perkahwinan itu tak sah kerana tidak mengikut syariah dan agama Islam. Yang sedih mereka dah ada 4 orang anak. Apakah status anak-anak tu ya?

Itulah pentingnya ilmu pengetahuan. Kita harus tahu undang-undang dan syarat-syarat sah nikah mengikut Syariah Agama Islam.

Tak pasal-pasal jadi kes polis dan dibawa kes tu ke pihak Jabatan Agama Islam.

Contoh Kes Kedua

Ada satu kes sepasang suami isteri yang berumur 65 tahun. Si isteri tuntut cerai dengan suami setelah 45 tahun bersama.

Bila hakim tanya kenapa nak bercerai, mak cik tu jawab sebab dah tak sayang dan tak sefahaman. Itu sahaja jawapannya dari awal sampai akhir.

Hakim ada tanya lagi, sebelum ni 45 tahun masih bersama sebab sayang dan sefahamanlah yer? Sekarang dah tak sayang dan tak sefahaman tuntut cerailah?

Mak cik tu angguk kepala saja dan muktamad nak tuntut cerai. Yang buat saya sedih, suami mak cik tu tak cakap apa-apa tetapi dia menangis.

Saya lihat anak-anak mereka pun turut ada bersama tetapi lebih banyak menyebelahi bapa mereka.

Tak semena-mena air mata saya juga mengalir melihat drama tu. Bukan nak sebelahi siapa yang betul siapa yang salah cuma sedih sebab dalam umur sebegitu dan anak-anak dah besar-besar pun keluarga berpecah belah.

Kebanyakkan kes yang dibicarakan ketika itu ditunda kerana bukti tidak mencukupi.

Antara sebabnya persediaan tiada, dokumen tak lengkap, sebab untuk bercerai tak kukuh, pihak plantif atau defendan tidak hadirkan diri dan macam-macam lagi.

Kes Cerai Fasakh Dan Cerai Biasa

Terdapat kes si suami sekeras-keras tidak mahu lepaskan si isteri.

Saya ada berbual dengan seorang rakan yang juga seorang peguam syariah. Beliau ada menjelaskan tentang proses dan syarat-syarat perceraian ni.

Ada pasangan yang membuat tuntutan kes cerai biasa tetapi tidak berjaya dan sering ditunda kes mereka.

Atas sebab ini kadang-kadang satu-satu kes perceraian mengambil masa yang agak lama sehinggakan ada yang melebihi sepuluh tahun.

Sekiranya berlaku begini anda sebagai wanita boleh menuntut cerai fasakh.

Baru saya tahu dalam masa pemprosesan kes cerai fasakh sekiranya pihak suami bersetuju bercerai secara baik, kita boleh pindahkan ke kes cerai biasa.

Tetapi sekiranya si isteri failkan cerai biasa, tidak boleh tukar terus ke kes cerai fasakh. Si isteri kena failkan kembali dan membuka fail baru iaitu kes cerai fasakh.

Dalam proses cerai fasakh, sekiranya si suami tidak hadir atau tidak mahu bekerjasama, pihak mahkamah boleh mengambil tindakan undang-undang dan boleh menjatuhkan talak tanpa persetujuan si suami mengikut bukti-bukti yang kukuh.

Memang banyak kerja dan boleh menganggu emosi kita.

Itu yang saya fahamlah dari apa yang rakan saya tu jelaskan. Kalau apa yang saya nyatakan ini salah, anda boleh buat rujukan sendiri di Jabatan Agama Islam.

Sebenarnya rumit juga kes perceraian inikan. Memerlukan masa yang lama, kesabaran dan yang paling nyata mencabar akal dan fikiran kita. Yang paling sedih tempias kena pada anak-anak.

Peranan Pihak Ketiga

Saya bukan menggalakkan perceraian, apa yang saya tulis ini berpandukan apa yang saya faham tentang proses mahkamah syariah. Banyak wanita yang teraniaya digantung tanpa tali.

Saya tidak kata wanita sahaja yang betul, ada masalah datang dari wanita sendiri sedangkan si suami melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

Masalah rumah tangga kita tidak boleh campur tangan. Jangan ada campur tangan dari pihak ketiga sama ada dari pihak lelaki atau wanita. Lebih-lebih lagi ahli keluarga. Harus diselesaikan sendiri.

Sebaiknya jumpa kaunselor. Ramai yang malu dan malas nak berjumpa dengan kaunselor. Seboleh-boleh nak selesaikan di mahkamah terus. Cuba dahulu.

Rakan-rakan juga memainkan peranan yang penting. Saya agak tidak suka bila ada rakan-rakan yang lagi mengapi-apikan supaya menuntut cerai.

Bukan begitu caranya kita hendak menyokong atau memberi nasihat kepada rakan atau saudara kita yang menghadapi masalah rumah tangga.

Jika ada rakan atau ahli keluarga yang menghadapi masalah rumah tangga sebegini kita seharusnya bertindak sebagai penenang, bukannya penghasut. Walaupun jelas nyata kesalahan adalah pada pihak si suami atau si isteri.

Dengan menghasut bukan boleh menyelesaikan masalah, malah tanpa sengaja kita menggalakkan perceraian dan adalah berdosa besar kita meruntuhkan rumah tangga orang.

Sebagai Iktibar Untuk Diri Sendiri

Kebiasaan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga, fikiran mereka bercelaru dan tidak menentu. Sebolehnya tenangkan hati rakan kita tu dan yang teraniaya supaya minta petunjuk dari Allah swt… InsyaAllah akan nampak jalannya…

Saya bukan penyelesai masalah dan tidak sesekali berniat mengaibkan sesiapa. Perkara begini juga boleh berlaku kepada diri saya sendiri. Saya ambil sebagai iktibar.

Apa yang saya tulis sekadar perkongsian yang mungkin boleh menyedarkan kita iaitu dari pengalaman yang saya kutip dan berlaku disekeliling saya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *