Kelebihan Untuk Belajar Bahasa Arab

Seperti biasa, bila saya transit di mana-mana airport sekali pun, tempat pertama yang saya cari ialah musolla atau prayer room. Musolla merupakan tempat paling selesa untuk meluangkan masa sepanjang tempoh transit. Saya pernah transit 12 jam di Oman dan Alhamdulillah ada musolla. Musafir kali ini saya akan transit selama 8 jam di Istanbul. Syukur airport istanbul juga ada menyediakan musolla.

belajar bahasa arab

belajar bahasa arab

Tubuh manusia memenuhi segenap penjuru musolla. Ada yang tidur berbantalkan tangan sahaja dan ada juga beberapa orang yang memiliki travel pillow. Saya cuba mencari ruang untuk landing. 8 jam bukan masa yang singkat. Saya perlu tidur!

Saya terjaga dari tidur.

“Sekarang pukul berapa?”

Saya tanya sepontan kepada seorang lelaki sebelah saya. Beliau kelihatan sedikit terkejut.

“Kamu boleh cakap arab?”

Saya terdiam sebentar. Baru saya sedar bahawa sebentar tadi saya telah sapa beliau dalam bahasa arab ammi mesir. Jetlag gamaknya! Heh.

Semenjak dari insiden tersebut, macam-macam hal kami sembang. Dari lahjah bahasa yang beliau gunakan, saya mengagak bahawa beliau bukan arab mesir. Sangkaan saya betul kerana beliau memperkenalkan diri sebagai seorang Iraqi. Beliau berasal dari Basrah.

“Bagaimana mesir sekarang?”

Soalan popular yang saya selalu terima apabila orang tahu saya sedang belajar di mesir. Saya cuba memikirkan jawapan yang paling ringkas. Tidak ada mood untuk sembang perihal mesir ketika itu.

“Saya ada sembang dengan seorang rakyat mesir ini dan beliau mengatakan “Mesir khalas” iaitu mesir sudah habis. Kita doakan yang terbaik untuk saudara-saudara kita di sana, insyaallah.”

Beliau mengangguk tanda faham.

“Bahasa Arab pasar iraq jauh lebih baik dari mesir. Arab pasar iraq lebih hampir kepada arab fushah. Saya mudah faham apa yang kamu bincangkan.”

Oleh kerana arab saya kurang fasih, beliau menghadapi sedikit masalah untuk memahami apa yang saya sedang cuba katakan. Adohai.

Tiba-tiba ada seorang pakcik mencelah dan menerangkan semula apa yang saya cuba sampaikan kepada iraqi tersebut. Pengamatan saya pada warna kulit dan lahjah bahasanya mengatakan bahawa beliau hanya berjiran dengan mesir. Kulitnya sedikit gelap dan bahasa arabnya lebih cantik dan lebih mudah di fahami berbanding iraqi tadi. Ya betul, beliau seorang sudan!

Masih ada sejam lagi sebelum waktu subuh masuk. Suasana di dalam musolla sedikit riuh rendah apabila para musafir lain mula bangkit untuk bersedia solat subuh. Di penjuru kanan musolla ada sekumpulan bakal tetamu Baitullah sedang memakai ihram secara berjamaah. Saya perhatikan mereka. Di bahagian tengah musolla pula ada sekumpulan yang sudah siap berihram sedang duduk dalam bulatan. Mereka sedang menghafal doa-doa sepanjang umrah bersama-sama.

Perbualan antara iraqi-sudani-misri masih rancak. (Perasan diri misri)

Saya rasa sangat gembira. Bahasa arab antara bahasa yang besar dan luas penggunaannya pada hari ini. Saya rasa sangat beruntung bilamana saya antara golongan yang mampu faham dan bertutur dalam bahasa syurga ini. Walaupun saya masih bertatih.

Baru-baru ini saya ada pernah memasangkan niat untuk menjadi seorang polyglot. Saya bercita-cita untuk bertutur dalam banyak bahasa. Bahkan saya sudah mulakannya dengan ‘ringan-ringan’ belajar bahasa sepanyol. Hampir 200 vocab sudah saya kuasai.

“Ana nak minta pandangan nta. Ana nak belajar banyak bahasa.”

Saya cuba berbincang dan minta pendapat dari murabbi saya di Mesir.

“Bagus cita-cita nta tu. Sekarang nta tengah belajar espa?ol kan? Nanti bila nta dah fasih, macam mana nta nak gunakan bahasa tu untuk sumbang kepada dakwah dan tarbiah?”

Garu kepala juga saya nak menjawab soalan beliau. Apabila kita bertekad untuk hidup di dunia ini untuk akhirat, segala keputusan hidup kita mestilah sesuatu yang memberi manfaat kepada kita di akhirat sana.

Dunia ini ialah ladang. Hasilnya kita akan tuai di akhirat kelak. Jika di dunia ini kita menabur benih duniawi, apa yang kita akan tuai di akhirat kelak? Alangkah ruginya jika kita seronok di dunia namun satu zarah pun perkara tersebut tidak memberi nilai di akhirat kelak. Saya sentap.

“Mantapkan bahasa arab nta tu dulu. Biar sampai tahap nta boleh baca dan bedah kitab arab.”

Saya ni bahasa arab pun masih nyawa-nyawa ikan paras mulut, ada hati berangan ‘buang masa’ keemasan di mesir dengan belajar bahasa lain. Sedangkan bahasa arab merupakan kunci kepada ilmu. Kalau bahasa arab tidak fasih, bagaimana nak faham Quran? Fahamkan dahulu Al-Quran. Adohai.

Geleng-geleng kepala, tetapkan azam baru. Mari kuasai bahasa arab betul-betul. Ini tekad.

Azan subuh telah berkumadang. Para jamaah bangkit menunaikan solat sunnat sebelum subuh. (Hadis)

Inilah skim cepat kaya paling terjamin dan selamat.

Saya terpandang seorang jamaah sebelah saya. Ketika tahiyat akhir, beliau menggerak-gerakkan jari telunjuk beliau.

“Ini wahabi!!!!”

Saya bermonolog. Lekas-lekas saya tepuk pipi. Bangkit dari mimpi. Ini bukan Malaysia.

Sudani tadi bangkit menjadi imam. Apabila beliau mengalunkan bacaan surah Fatihah, saya teruja sebentar. Beliau menggunakan qiraat yang saya tidak pernah dengar. Ini pengalaman baru!

Sampai rakaat kedua selepas ruku’, beliau terus sujud.

“Tak ada qunut? Ini wahabiiiii!!!!”

Hampir-hampir saya lupa, saya bukan berada di daerah pelik yang bernama Malaysia. Daerah dimana perkara yang berlainan dari norma masyarakat terus dicop wahabi. Tak ada qunut, terus wahabi. Haiya tepuk dahi.

Ada juga sekumpulan manusia yang lebih kurang begini. Jika kita tidak sependapat dengan mereka, maka kita akan terus dilabel liberal,sekular dan macam-macam label.

Inilah daerah unik bernama Malaysia. Daerah yang saya rindui.

Jika tak baca qunut dan gerak jari itu wahabi, maka hari-hari saya di mesir dipenuhi dengan wahabi.

Semoga Allah memberkati Malaysia.

One Response

  1. Ummi Hanie June 14, 2018

Leave a Reply