Cara Buat Resume Dengan Rujukan Contoh Resume

Resume adalah suatu dokumen formal yang digunakan seseorang itu untuk mempersembahkan latar belakang dan juga kemahirannya. Ia digunakan untuk pelbagai tujuan tetapi yang utamanya adalah untuk mohon kerja sama ada untuk yang baru nak memohon ataupun yang sudah pernah bekerja. Contoh resume yang terbaik adalah yang ringkas tetapi lengkap merangkumi kesemua aspek penting anda. Walaupun ada sesetengah permohonan kerja yang tidak memerlukan resume seperti laman web kerajaan – SPA yang hanya memerlukan anda mengisi secara online butiran anda, namun, kemahiran membuat resume yang asas perlu diketahui setiap orang.

resume

resume

Cara buat resume yang paling mudah ialah menggunakan perisian Microsoft Word. Saya pasti anda semua pernah menggunakan Microsoft Word. Sekiranya anda sukakan suatu reka bentuk yang minimal, Microsoft Word adalah tepat untuk anda. Jika buntu untuk bermula, cuma tinggal cari sahaja contoh resume di internet, ada banyak dan pelbagai yang boleh dijadikan rujukan.

Dalam mencari idea menerusi contoh resume lain di internet, anda pasti pernah terserempak dengan resume yang anda rasa agak mustahil untuk di reka bentuk menggunakan perisian Microsoft Word. Sekiranya anda lebih berminat dengan resume yang luar biasa menarik reka bentuknya, anda harus menggunakan perisian seperti Adobe InDesign, Adobe Illustrator ataupun Photoshop! Ia juga dikenali sebagai resume infografik. Resume infografik adalah format resume yang terkini yang biasanya digunakan oleh pemohon kerja yang mahu menampilkan sisi kreatif mereka bagi permohonan pekerjaan yang menitik beratkan kreativiti seperti pereka grafik.

Bagi struktur kandungan resume, ia juga pelbagai. Tetapi, wajib disertakan butiran berhubung dan juga pengalaman kerja bagi memudahkan pihak satu lagi untuk menilai kelayakan anda dan berhubung dengan anda sekiranya anda memenuhi kelayakan mereka.

Struktur pertama ialah ruangan gambar dan butiran hubungan. Menyertakan gambar adalah norma bagi masyarakat Malaysia kita. Tapi sebaliknya, norma bagi negara luar seperti United Kingdom yang mempunyai akta khas berkenaan diskriminasi tempat kerja tidak mewajibkan disertakan gambar di dalam resume mereka bagi mengelakkan diskriminasi berdasarkan warna kulit, bangsa dan agama. Butiran hubungan adalah seperti nombor telefon dan juga emel serta, jika perlu, alamat rumah. Pastikan maklumat hubungan adalah yang terkini dan sebanyak mungkin (jika anda memiliki beberapa nombor telefon, contohnya) bagi mengelakkan peluang pekerjaan anda terlepas!

Butiran hubungan juga biasanya diletakkan dalam ruangan ke-2 iaitu butiran peribadi. Kebiasaannya, ruangan ini menjadi sasaran oleh pemohon yang kekurangan data untuk disertakan. Ia terkadang dielaborasikan lebih panjang untuk pemohon kerja lepasan SPM atau mana-mana individu yang tidak mempunyai banyak maklumat lain. Namun, seeloknya maklumat tambahan seperti usia, tarikh lahir, nombor kad pengenalan, hobi mahupun cita-cita tidak perlu diletakkan.

Ruangan ke-3, adalah yang paling penting ialah pengalaman kerja. Ruangan perlu ditulis terperinci terutama jika jawatan lepas sangat berkait daripada segi skop tugasan dengan jawatan baru yang ingin dipohon. Antara butiran yang disertakan dalam ruangan ini adalah tarikh atau tempoh kerja, jawatan, nama syarikat dan skop tugasan. Cara susunan biasanya yang paling atas ialah yang paling terkini.

Ruangan ke-4 iaitu maklumat pendidikan. Ia juga tidak kurang pentingnya terutama kepada lepasan universiti ataupun sekirannya kerja yang ingin dipohon berkait dengan latar belakang pendidikan anda, namun kerja sebelum ini tidak berkait dengan bidang anda. Ia juga perlu diisi secara kronologi terbalik iaitu yang terkini berada paling atas.

Seterusnya, ruangan rujukan. Boleh disertakan butiran berhubung individu yang yang mengenali anda di tempat kerja, mahupun pensyarah bagi kelas anda di universiti yang dapat memberi testimoni bagi penilaian kemahiran dan karakter anda. Ia juga diperlukan sekiranya terjadi kecemasan. Jadi, jika ketiadaan rujukan, boleh disertakan maklumat saudara-mara yang terdekat.

Selain itu, anda juga boleh sertakan ruangan tambahan lain seperti kemahiran tambahan, aktiviti kokurikulum, aktiviti sukarelawan, ataupun pencapaian yang boleh menambahkan kredibiliti anda pada pandangan pihak yang menilai. Tapi, pastikan ia tidak terlalu meleret dan pastikan tidak melebihi 2 muka surat A4 dengan saiz tulisan standard yang boleh dibaca.

contoh resume

Tiada masa nak buat resume sendiri?!

Jangan risau, sekarang ini zaman mudah. Anda boleh dapatkan contoh resume yang sudah siap dan hanya perlu mengisi mengedit butiran anda ke dalamnya. Cuma cari di carian google menggunakan kata kunci yang sesuai seperti “resume template”. Carian biasanya lebih afdal dalam bahasa inggeris berbanding bahasa Melayu bagi meluaskan lagi skop carian. Laman web seperti Canva.com memerlukan anda mengedit resume anda secara online dan kemudian anda boleh download resume tersebut dalam format JPG, PNG ataupun PDF!

One Response

  1. ubai May 15, 2018

Leave a Reply