free
web stats

Berhenti Kerja Makan Gaji

(Strategi dan masa yang tepat membezakan kita dengan yang lain)

Terinspirasi dengan artikel Kerja Sendiri dan Blogger Terkenal menyebabkan saya menulis artikel ini.

Saya masih seorang pelajar dan belum melangkah ke alam pekerjaan. Namun, berdasarkan pembacaan saya dan penelitian alam pekerjaan orang yang terdekat, maka inilah kesimpulan yang saya mampu berikan. Pada orang lain itu, ada suatu pelajaran.

freelance

freelance

Apabila kita membaca kejayaan orang lain memiliki pekerjaan sendiri dan aset yang banyak, menjadikan kita teruja dan ingin menjadi seperti mereka. Namun, langkah ke arah itu, tidaklah semudah yang disangka. Segalanya, mesti bermula dengan perancangan dan semangat yang kental untuk berjaya. Dan ianya bermula daripada sekarang. Bukan tunggu esok atau lusa.

Pandangan Orang Bekerja Tentang Kerja Sendiri

Saya agak terkejut apabila saya bertanya pandangan orang yang telah bekerja tentang berhenti kerja makan gaji dan beralih kepada kerja sendiri, ada yang tidak berminat langsung dan ada yang berminat.

Barangkali, mereka yang tidak berminat ini disebabkan mereka berasa selesa dengan kehidupan mereka. Mereka tiada masalah apa-apa dalam kewangan dan kehidupan mereka. Jadi, sudah tentu mereka tidak mahu beralih arah. Selain itu, mereka juga mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh jabatan atau syarikat mereka dalam bentuk kemudahan kebajikan dan bonus.

Bagi sesetengah yang mahu bekerja sendiri, mereka mempunyai masalah kewangan dan mahu mengubahnya dengan bisnes sendiri. Dengan kesusahan yang mereka hadapi, mereka mahu jadikan ini sebagai batu loncatan untuk berjaya.

Benarlah, setiap orang ada pandangan masing-masing. Pandangan itu pula dibina berdasarkan keadaan mereka.

Jika dilihat dalam fenomena hari ini, kaum wanita lebih banyak bekerja sendiri daripada kaum lelaki kerana mereka mendapat sokongan penuh suami mereka yang bekerja makan gaji atau bekerja sendiri. Manakala, kaum lelaki lebih memikirkan jalan yang selamat dalam bekerjaya. Oleh itu, pilihan yang ada hanyalah bekerja makan gaji.

Kelebihan Bekerja Sendiri

Bekerja sendiri mempunyai banyak kelebihan. Kelebihan yang pastinya membawa seseorang itu lebih maju dalam kehidupan mereka sebagai individu dan juga pemilik bisnes.

Masa depan yang lebih cerah menjadi ukuran bagi setiap orang. Hal yang sama berlaku bagi mereka yang makan gaji. Mereka akan berhenti bekerja dengan satu jabatan atau satu syarikat jika mendapat tawaran lain yang lebih baik.

Menjadi pemilik perniagaan sendiri menjadikan masa depan lebih cerah dan semuanya ditentukan oleh kita. Jika kita berjaya, maka berjayalah perniagaan kita dan cerahlah masa depan kita.

Selain itu, peluang memberikan pekerjaan kepada orang lain adalah usaha murni yang boleh diberikan oleh pemilik perniagaan. Ini meningkatkan lagi perkembangan ekonomi di sesebuah negara.

Kemampuan Bersaing Dalam Ekonomi Malaysia

Satu hal yang menjadi kayu ukur bagi sesetengah orang untuk bekerja sendiri ialah kemampuan bersaing dalam sesuatu bidang. Sebagai contoh, jika kita berniaga keropok lekor, adakah kita mampu bersaing dengan pemilik bisnes keropok lekor yang lain?

Jika, persaingan sihat boleh berlaku, maka tentulah keputusan positif akan diambil. Dalam isu di Malaysia, pertumbuhan ekonomi yang masih baik serta amalan persaingan yang sihat telah menjadikan ruang untuk bersaing masih terbuka luas.

Mengikut laporan Bank Negara Malaysia, permintaan dalam negeri masih kekal di tahap yang memuaskan iaitu pertumbuhan sebanyak 9.6% bagi suku pertama pada tahun 2012. Hal ini menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi di Malaysia masih baik walaupun banyak masalah melanda daripada kos hidup, politik dan pendidikan. Nampaknya, isu-isu tersebut tidak menganggu urusniaga dalam Malaysia. Jadi, peluang berniaga dan bekerja sendiri masih cerah.

Bilakah Waktu Sesuai Berhenti Kerja Makan Gaji ?

Inilah persoalan yang selalu bermain di fikiran mereka yang sedang berusaha ke arah bekerja sendiri. Persoalan ini penting kerana ianya memberi kesan besar dalam langkah kita selepas beralih arah.

Tanpa strategi dan waktu yang tepat, kita berkemungkinan akan tersungkur dalam usaha kita.

Dicadangkan kepada mereka yang berhasrat untuk berhenti kerja makan gaji adalah setelah anda mempunyai 5 bulan simpanan daripada gaji anda. Selain itu, pendapatan yang bakal diperolehi daripada bisnes anda adalah 2 kali ganda daripada gaji bulanan anda. Gaji lebihan ini bertujuan memberikan wang lebih untuk membeli kereta dan rumah yang memerlukan pinjaman daripada bank. Kebanyakan bank tidak meluluskan pinjaman daripada pemilik perniagaan sendiri. Oleh itu, anda perlu mempunyai kewangan yang kukuh bagi berhadapan dengan situasi ini.

Kesimpulannya, saya bersama mereka yang berhasrat untuk membuka perniagaan sendiri. Banyak kelebihan dan keuntungan pada masa hadapan yang bakal diperolehi. Apa yang lebih penting daripada itu adalah persediaan yang mencukupi.

Semoga para pembaca dapat membuat pilihan yang terbaik.

Leave a Reply