free
web stats

Anak Menjadi Boneka

Mungkin kasar bunyi tajuk artikel ini. Tetapi saya tidak berniat untuk menyakitkan hati sesiapa, sebaliknya lebih kepada membetulkan sedikit kesilapan ibu bapa yang terlepas pandang dalam mendidik anak-anak mereka.

boneka
boneka

Anak menjadi boneka ialah anak menjadi alat kepada ibu bapa bagi mencapai kejayaan dan kehendak mereka dan bukan kejayaan dan kehendak anak mereka. Itu yang saya maksudkan di sini.

Salah Faham Memahami Perintah Taat Ibu Bapa

Kebiasaannya, salah faham ini berlaku kepada kedua-dua pihak iaitu pihak ibu bapa dan pihak anak.

Menurut perspektif anak-anak yang baik, mereka perlu menurut segala perintah ibu bapa tanpa boleh melawan sedikit pun. Perkara yang sama juga difahami oleh sesetengah ibu bapa. Mereka merasakan bahawa segala kata-kata mereka perlu diikuti dan dipatuhi tanpa sebarang bantahan daripada anak-anak.

Mengikut perspektif Islam, ketaatan itu bukan bersifat mutlak. Malah, ketaatan kepada Allah s.w.t. itulah yang mutlak. Jika berlaku pertembungan antara apa yang diperintah oleh Allah s.w.t. dengan apa yang disuruh oleh ibu bapa, maka perintah Allah yang perlu diutamakan dan boleh melanggar perintah ibu bapa. Mungkin dalam masalah agama, perkara ini sudah dimaklumi tetapi dalam masalah masa depan anak-anak, kebanyakan ibu bapa gagal memberikan ruang yang sepatutnya bagi anak-anak untuk membuat pertimbangan mereka sendiri.

Sebagai contoh, isu mencari pasangan bagi anak lelaki dan anak perempuan. Lelaki merupakan wali bagi diri mereka sendiri. Dalam hal ini, mereka berhak menentukan pasangan mereka sendiri tanpa campur tangan ibu bapa. Namun, mengikut adat orang Melayu, ibu bapa diberi ruang untuk membuat keputusan menentukan calon bagi pasangan anak lelaki mereka. Tidak mengapalah, jika anak lelaki tersebut redha dengan pilihan ibu bapa mereka. Namun, jika anak lelaki tadi tidak berkenan, ibu bapa janganlah berkecil hati atau memaksa anak-anak mereka berkahwin dengan pilihan mereka. Sebab isu perkahwinan adalah masa depan anak lelaki mereka dan bukannya masa depan mereka. Apa yang perlu diberikan oleh ibu bapa adalah panduan dan nasihat persediaan bagi melalui kehidupan berumah tangga.

Manakala, bagi anak perempuan, walinya adalah ayahnya. Maka, dalam memilih pasangan anak perempuan, bapalah yang berhak membuat keputusan. Namun, bapa yang baik perlulah merujuk kepada pandangan anak perempuan tersebut kerana yang akan berkahwin bukan bapanya tetapi anaknya.

Dalam isu ini, kita lihat sendiri tentang peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa. Tugas mereka adalah membantu dan menyediakan ruang untuk anak-anak membuat keputusan dan bukannya mereka yang membuat keputusan secara mutlak.

Kisah Kekangan Anak-Anak

Kisah ini bermula daripada kecil lagi. Anak-anak apabila dimasukkan ke taman asuhan kanak-kanak, ibu bapa sudah meletakkan target mereka untuk anak-anak. Anak-anak mesti sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mengira dan membaca bacaan solat. Itu standard yang perlu dicapai oleh anak-anak.

Jika anak-anak tidak berjaya, mereka berasa malu dan memaksa anak-anak supaya belajar lebih rajin. Jangan bermain kalau tidak siap kerja sekolah dan sebagainya. Layanan ibu bapa terhadap anak-anak pada ketika ini juga agak kasar. Sebabnya, piawaian mereka tidak tercapai.

Masuk alam persekolahan, anak-anak dipesan untuk mendapatkan tempat pertama dalam kelas. Semakin banyak A semakin banyak hadiahnya. Semakin banyak B dan ke bawah semakin banyak bahasa ‘amukannya’. Seolah-olah pencapaian itu yang lebih penting daripada anaknya sendiri.

Ketika bertemu rakan-rakan, ibu bapa akan menyindir anak-anaknya yang kurang berjaya dan memuji anak-anak orang lain di hadapan anaknya sendiri. Semuanya, gara-gara tidak cemerlang dalam peperiksaan.

Setelah tamat persekolahan, tiba waktunya untuk berkahwin. Si ibu sudah berpesan kepada anak-anaknya: “Jangan cari pasangan yang lain. Ibu dah cari pasangan untuk kamu. Orangnya kaya, cantik/tampan dan terpelajar. Beruntung kamu masa depan nanti ?. Pesanan itu menyebabkan anak-anak gelisah memikirkan gerangan orang yang bakal menjadi pasangan mereka.

Dalam mencari pekerjaan pula, si bapa pula mengambil peranan. Hanya beberapa pekerjaan sahaja yang layak untuk anak-anaknya. Doktor, pensyarah, peguam, dan beberapa sektor korporat lain. Itu sahaja pilihan mereka. Jika hendak berniaga atau guru, maka ditentang habis-habisan. Katanya pekerjaan itu tidak layak untuk mereka dan gajinya juga tidak seberapa.

Kesan Kekangan Ibu Bapa Terhadap Anak-Anak

Tidak dapat dinafikan, kisah-kisah tadi, bakal memporakperandakan masa depan anak-anak mereka. Rumah tangganya tidak bahagia, pekerjaannya tidak secocok, malah anak-anak juga tidak berkeyakinan diri untuk berhadapan dengan orang lain. Mereka merasakan hidupnya bukan miliknya lagi. Semuanya ditentukan oleh ibu bapa.

Suatu hal yang pasti, ibu bapa dilihat oleh anak-anak sebagai penghalang kepada impian mereka. Kesannya, hubungan anak-anak dengan ibu bapa menjadi renggang. Ibu bapa juga yang akan kehairanan, kenapa mereka diperlakukan demikian, sedangkan mereka telah berusaha sebaik mungkin menjadi ibu bapa yang baik.

broken heart
broken heart

Berikan Ruang Untuk Membuat Keputusan

Sewajarnya, ibu bapa perlu memberi ruang kepada anak-anak membuat keputusan mereka sendiri. Mulakan ketika umurnya masih kecil lagi. Serta utamakan kepentingan mereka dan bukannya kepentingan ibu bapa serta maruah mereka di hadapan rakan-rakan mereka yang lain.

Jangan korbankan perasaan anak-anak, semata-mata mencari keputusan peperiksaan yang cemerlang, pekerjaan yang berstatus korporat serta menantu yang kaya-raya.

Mereka berhak ke atas diri mereka sendiri. Jika tidak mahu anak-anak menjadi jauh dengan ibu bapa, maka biarlah anak-anak tahu peranan sebenar ibu bapa mereka serta kepentingan mereka dalam hidup anak-anak.

Saya harapkan supaya anak-anak mendapat ruang secukupnya dalam membuat keputusan. Dengan ruang seperti ini, banyak memberikan impak positif kepada anak-anak mereka di masa hadapan.

Baca juga: Petua Memilih Hobi Yang Sesuai

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *