Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

5 Teknik Pengajaran Yang Berkesan Nabi Khidhir a.s. Terhadap Nabi Musa a.s.

Kisah Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidhir a.s. merupakan kisah yang tidak asing bagi kita. Malah, terdapat beberapa program motivasi menggunakan ibrah daripada kisah ini sebagai modul program mereka.

Kisah ini diceritakan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Kahfi secara lengkap. Ianya untuk pengajaran kita sebagai hambaNya.

bahasa jiwa bangsa

bahasa jiwa bangsa

Kisah Bermulanya Proses Pembelajaran

Sebelum kita menelusuri teknik-teknik pengajaran yang terdapat dalam kisah ini, saya akan menceritakan terlebih dahulu sebab terjadinya kisah ini.

Kisah ini bermula apabila Nabi Musa a.s. sedang duduk di majlis Bani Israil dengan memberikan ceramah kepada mereka. Setelah itu, diajukan satu soalan kepadanya: “Adakah kamu tahu seseorang yang lebih alim daripadamu?” Maka baginda menjawab: “Tidak”.

Maka, Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Musa a.s. bertemu dengan seorang lelaki yang lebih alim daripadanya. Lelaki itu ialah Nabi Khidhir a.s.

Pengetahuan Mereka Berbeza

Disebut dalam hadis sahih Al-Bukhari:

يا موسى إنى على علمٍ من علم الله تعالى علَّمنيه لا تعلَمُه وأنت على علمٍ من علم الله علّمكه الله لا أعلمه))

“Wahai Musa a.s., sesungguhnya aku mengetahui daripada ilmu Allah s.w.t. yang diajarkannya kepadaku yang tidak engkau ketahui, dan engkau mengetahui daripada ilmu Allah s.w.t. yang diajarkannya kepadamu yang tidak aku ketahui”

Nabi Khidhir a.s. menjelaskan bahawa mereka dikurniakan ilmu yang berbeza. Tetapi kedua-duanya adalah pemberian Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui.

Disebutkan dalam kisah tersebut bahawa Nabi Khidhir diberikan ilmu laduniy iaitu ilmu yang diberikan oleh Allah s.w.t. tanpa sebarang usaha daripada hamba tersebut.

Manakala, ilmu yang ada pada Nabi Musa a.s. pula adalah wahyu daripada Allah s.w.t. tentang syariat-syariat yang perlu disampaikan dan dilaksanakan kepada kaumnya.

Maka, tidak hairanlah Nabi Khidhir memperingatkan bahawa Nabi Musa a.s. tidak mampu bersabar kerana baginda cuba belajar ilmu yang tidak disampaikan kepadanya sebelum ini.

5 Teknik Pengajaran Yang Berkesan

Sudut yang saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan pembaca pada hari ini ialah 5 teknik pengajaran yang ditunjukkan oleh Nabi Khidhir a.s. dalam mengajar Nabi Musa a.s.

5 Teknik ini sangat relevan untuk diamalkan di dalam proses pengajaran pada hari ini. Walaupun, proses ini berlaku di antara dua utusan Allah, namun ianya memberi petunjuk kepada kita tentang beberapa teknik untuk mengajar.

Tarbiah manusia memerlukan seni dan kepakaran. Malah, seni tarbiah manusia adalah lebih susah dan kompleks daripada seni-seni yang lain.

Teknik Pertama: Ajarkan Sabar

Antara kebanyakan masalah para pelajar pada hari ini adalah kurang sabar. Kurang sabar menelaah pelajaran, kurang sabar menerima pemikiran baru dan kurang sabar menghadapi dugaan semasa belajar. Bab kurang sabar sahaja sudah boleh meruntuhkan semangat pelajar, apatah lagi masalah-masalah yang lain.

Nabi Khidhir a.s. telah memperingatkan Nabi Musa a.s. perihal sabar ini.

قَالَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا . وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَى مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

Baginda berkata: “Sesungguhnya engkau tidak akan mampu bersabar bersamaku” . “Dan bagaimana kamu bersabar terhadap perkara yang tidak dimaklumkan kepada kamu tentangnya”

(Surah Al-Kahfi: 67-68)

Nabi Khidhir a.s. mengingatkan tentang sabar kerana ianya sifat asas untuk belajar. Tanpa sabar, azamnya untuk belajar hanyalah hangat-hangat tahi ayam.

Teknik Kedua: Saling Belajar Dan Mengajar

Guru bukanlah bermaksud seseorang yang mengetahui semua perkara. Guru hanyalah mengetahui beberapa perkara dalam bidangnya. Oleh itu, tugas belajar bukanlah hanya khusus kepada pelajar, bahkan guru juga perlu belajar daripada para pelajar. Pasti, ada sesuatu yang boleh dipelajari.

Sebentar tadi, saya belajar Fiqh Muwazanah ( Kefahaman Pertimbangan ) dengan seorang ustaz yang sangat mementingkan adab dan disiplin. Beliau berkata kepada para pelajar : « Kita datang ke kuliah untuk saling belajar. Ada di antara kalian yang ilmunya tinggi daripada guru. Maka, utarakanlah pandangan kalian dengan hujah-hujahnya dan saya akan utarakan pandangan saya dengan hujah-hujahnya. Semua itu bertujuan untuk sampai kepada kebenaran”.

Perkara ini juga diucapkan oleh Nabi Khidhir a.s kepada Nabi Musa a.s. sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis Sahih Bukhari (sila rujuk di atas). Nabi mengakui bahawa dirinya hanya mengetahui ilmu yang diajarkan oleh Allah s.w.t. kepadanya sahaja. Manakala, ilmu yang ada pada Nabi Musa a.s. tidaklah diketahuinya.

Dengan sikap seperti ini, sistem pembelajaran akan menjadi lebih harmoni. Kedua-dua pihak, iaitu guru dan murid sedia memberi dan menerima nasihat atau ilmu yang berkaitan pelajaran.

Teknik Ketiga: Mengiktiraf Ilmu Allah Yang Maha Luas

فَلَمَّا رَكِبَا فِي السَّفِينَةِ جَاءَ عُصْفُورٌ فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ فَنَقَرَ فِي الْبَحْرِ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ قَالَ لَهُ الْخَضِرُ يَا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا مِثْلَ مَا نَقَصَ هَذَا الْعُصْفُورُ بِمِنْقَارِهِ مِنْ الْبَحْرِ

Maka setelah mereka menaiki perahu, maka datang seekor burung hinggap di tepi perahu dan mematuk setitik atau dua titik.

Nabi Khidhir telah berkata kepada Nabi Musa: “Wahai Musa, tidaklah berkurangan ilmuku dan ilmumu daripada ilmu Allah melainkan seperti berkurangnya patukan burung ini terhadap laut itu” (Hadis Riwayat Sahih Bukhari)

Sesungguhnya, ilmu Allah s.w.t. itu Maha Luas, sedangkan ilmu yang ada pada manusia itu hanyalah sedikit. Tetapi dengan ilmu yang sedikit ini, sudah ramai yang menjadi sombong dan lupa diri.

Teknik Keempat: Ingatkan Tentang Seni Bertanya

قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِي فَلَا تَسْأَلْنِي عَن شَيْءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

Maka berkata Nabi Khidhir a.s.: “Maka sekiranya engkau mengikutiku, maka janganlah kamu bertanya kepada ku tentang sesuatu sehinggalah dijelaskan kepadamu tentangnya” ( Surah Al-Kahfi : 70 )

Antara teknik penting dalam belajar adalah seni bertanya. Dengan seni ini sahaja, anda dapat mencedok pelbagai ilmu pengetahuan. Abang saya, Muhammad Syafie merupakan seorang pelajar melalui bertanya. Dia suka bertanya dan pandai bertanya. Melalui bertanya, beliau mendapat pelbagai ilmu pengetahuan.

Teknik Kelima: Menjawab Soalan Murid Dengan Berhikmah Dan Terperinci

Di akhir perjalanan, Nabi Khidhir menjawab segala persoalan yang diutarakan sebelumnya oleh Nabi Musa a.s. kepadanya. Baginda menjawabnya dengan penuh berhikmah dan terperinci.

Persoalan yang tidak terjawab akan menyebabkan seorang pelajar itu tidak seronok dalam sesi pembelajarannya. Akhirnya, pelajar tersebut akan hilang minat untuk belajar. Oleh itu, para guru perlulah sedaya upaya untuk menjawab pertanyaan para pelajar atau katakan “tidak tahu”.

Kesimpulan

Pada Al-quran terdapat pelbagai kisah dan sejarah yang memberikan panduan dalam pelbagai aspek. Terpulang kepada kita sahaja yang perlu menerokai dan mencarinya. Al-quran bukan sekadar buku cerita, sebaliknya ia adalah buku panduan kepada seluruh manusia dalam menyelesaikan masalah mereka.

Leave a Reply