free
web stats

5 Sikap Positif Belajar Bahasa Asing Versi Orang Maghribi

Sebelum ini, saya ada bercerita tentang 7 Teknik Berkesan Menguasai Bahasa Asing Dalam Masa 6 Bulan. Jadi, artikel ini adalah sambungan daripada artikel tersebut.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa perlu tambah sikap pula? Tidak cukupkah 7 teknik sebelum ini?

belajar bahasa asing

belajar bahasa asing

Jawapannya, tidak cukup. Teknik semata-mata tidak membantu kita untuk belajar bahasa asing kerana kalian pasti bosan dengan pembelajaran tersebut. Maka, penambahan sikap yang positif penting bagi memastikan kita berterusan dalam belajar.

Pengalaman berada di Negara Maghribi banyak mengajar saya tentang kepentingan bahasa. Ianya cukup berbeza dengan negara-negara Arab lain yang menjadi destinasi para pelajar Malaysia untuk belajar.

Perbezaannya ialah bilangan pelajar. Bilangan pelajar Malaysia sangat sedikit. Setiap tahun, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia hanya menghantar 15 orang mahasiswa pada pengambilan pertama dan beberapa orang lagi mahasiswa pada pengambilan kedua mengikut kekosongan yang ada. Biasanya kekosongan ini tidak banyak dan ianya diambil daripada kekurangan mahasiswa daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Setakat ini, bilangan mahasiswa Malaysia di Maghribi hanyalah ratusan orang sahaja. Bilangan ini semakin mengecil apabila dipecahkan ke 7 wilayah lain yang menjadi penempatan mahasiswa Malaysia.

Dengan bilangan yang sedikit ini, kepentingan bahasa sangat-sangat diperlukan. Jika gagal, kita boleh tertipu dan dianiaya oleh mereka.

Kenapa Orang Maghribi?

Dalam artikel kali ini, saya mengambil contoh sikap orang Maghribi belajar bahasa asing. Kebanyakannya, mereka menguasai lebih daripada 2 bahasa, iaitu bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol. Kedua-duanya pernah menjajah Maghribi.

Selain itu, mereka juga belajar bahasa Inggeris. Dalam erti kata lain, mereka perlu menguasai 3 bahasa asing dalam peringkat pengajian serta kehidupan mereka sendiri. Justeru, saya memilih Orang Maghribi sebagai bahan kajian saya dalam artikel kali ini.

1. Tidak malu

Mereka tidak malu untuk belajar, bertanya, dan membuat kesalahan. Seolah-olah, perkataan malu ini tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka. Di dalam kelas Bahasa Inggeris, pelajar Malaysia menjadi tumpuan kerana kepetahan kita dalam berbahasa Inggeris, namun, ini tidak melemahkan semangat mereka untuk mencuba. Sehinggakan, ruang untuk pelajar Malaysia menunjukkan kemahiran berbahasa Inggeris itu terbatas kerana keinginan mereka untuk bertanya dan menjawab soalan yang bertalu-talu.

Memang benar, orang malu itu tidak pernah belajar. Terdapat 2 orang yang tidak akan mendapat ilmu, iaitu orang sombong dan malu. Maka, biarlah malu bertempat dan bukannya tersilap tempat.

2. Ceria Dan Menceriakan

Mereka sangat ceria dalam kelas. Seolah-olah kelas itu seperti kedai kopi. Ada saja, perkara yang melucukan terjadi. Tetapi, ini adalah hasil usaha mereka untuk menjadikan sesi pembelajaran itu ceria. Mereka ceria dan menceriakan orang lain.

Sesi pembelajaran yang ceria akan memberikan tenaga untuk kita belajar. Sesusah manapun sesi pembelajaran tersebut, maka keceriaan dalam kelas dapat membantu kita untuk terus belajar dan belajar.

3. Berlatih, Berlatih Dan Berlatih

Orang Maghribi suka mencuba. Mereka tidak pernah takut untuk salah. Apa yang penting, ialah berusaha dan terus berusaha. Mereka percaya dengan pepatah Inggeris: Practice makes perfect . Perkara yang dilakukan berulang-ulang, akan menjadikannya semakin mudah dihadam atau difahami.

4. Guna Mentor

Kebiasaannya, mereka akan mencari mentor dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswa tersebut menjadi tempat rujuk bagi mereka. Mentor ini biasanya pegawai yang masih belajar di universiti. Mereka ini faham bahasa asing lebih baik daripada mahasiswa biasa. Biasanya, mereka akan adakan beberapa kelas tambahan melalui persepakatan dengan para mahasiswa.

Untuk berjaya, mentor sangat penting. Mentor ialah orang yang membantu dalam proses belajar bahasa. Kadang-kadang, kita tidak berkesempatan bertanya dengan guru yang mengajar, maka soalan-soalan ini, kita akan utarakan kepada mentor-mentor ini.

5. Dapat Dan Kongsi

Mereka suka berkongsi apa yang mereka dapat atau faham. Kadang-kadang, ketika guru mengajar, mereka terus berkongsi dan berbincang sesama mereka.

Zakat ilmu ialah menyebarkannya. Kuasa memberi sangat penting dalam urusan kehidupan kita. Untuk menjadi lebih berilmu, kita perlu berkongsi ilmu. Untuk menjadi kaya, kita perlu berkongsi harta dan begitulah perkara-perkara lain. Apa yang kita beri, itulah yang kita dapat.

Kesimpulan

Sikap yang positif membolehkan kita belajar lebih daripada orang lain. Semakin banyak sikap positif yang ada pada diri kita, maka, semakin tinggilah peluang untuk kita berjaya.

Salam kejayaan buat semua!

One Response

  1. aRzMoHa June 1, 2018

Leave a Reply