free
web stats

14 Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan

Aku percaya ramai orang di luar sana yang nak berkahwin mesti mengeluarkan modal yang besar kerana ingin mengikut trend masa kini yang semakin hari semakin merapu. Ada juga yang berkahwin menggunakan modal yang besar untuk melawan jiran tetangganya yang membuat majlis yang besar sedangkan dirinya tidak mampu untuk melakukan sedemikian rupa. Jarang untuk berjumpa dengan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan mengurangkan kos perkahwinan.

berkahwin
berkahwin

Di sini aku ingin berkongsi sedikit tips dan nasihat bagaimana untuk kurangkan kos perkahwinan yang saban tahun semakin meningkat sehingga tidak masuk akal. Perkongsian ini juga untuk diri aku yang sukar untuk menentukan kos kahwin yang sebenar. Aku harap dengan perkongsian ini dapat membantu aku dan diri anda juga yang ingin melangsungkan perkahwinan.

1. Majlis Yang Ringkas Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan

Untuk kurangkan kos perkahwinan, kita dinasihatkan untuk membuat majlis yang ringkas tetapi masih meriah. Kita tidak perlu menyediakan pelamin, dekorasi bilik pengantin, makan beradab, upacara potong kek, ataupun acara memakai baju kot dan gaun. Khemah yang disediakan pula dihadkan kepada 1 buah sehingga 3 buah sahaja bergantung pada bilangan tetamu yang dijemput.

majlis perkahwinan

Pernah tengok pada suatu masa dahulu ada artis malaysia yang berkahwin menggunakan gaya masyarakat Kristian di barat. Tersebar luas di siaran-siaran televisyen, akhbar, dan juga majalah. Akhirnya, perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian. Ratusan ribu ringgit dibelanjakan untuk majlis perkahwinan yang tidak membantu membahagiakan ataupun memperkukuhkan lagi ikatan perkahwinan itu.

2. Bilangan Tetamu Jemputan Mengikut Bajet Perkahwinan

Walaupun kita menjemput 10,000 orang tetamu, jurugambar kita tidak mampu mengambil gambar semua tetamu. Secara purata, 5 hingga 7 sahaja wajah yang akan terpapar di dalam setiap keping gambar. Ini sudah pasti tidak menunjukkan jumlah tetamu yang hadir adalah 10,000 orang.

majlis perkahwinan 2

Oleh itu, jemputan yang bagus antara 40 orang jiran, ditambah 150 orang, saudara-mara terdekat dan rakan terdekat. Tidak perlu menjemput semua orang yang kita kenal. Ada juga rakan aku yang berkahwin, menjemput sekitar 40 orang sahaja, iaitu jiran dan saudara terdekatnya sahaja.

Kos perkahwinan juga berkurangan kerana menggunakan 2 khemah sahaja kerana menjemput jiran tetangga dan saudara terdekat dan kawan terdekat. Alhamdulillah, majlis perkahwinan tetap meriah kerana kita sempat beramah mesra dengan hampir setiap tetamu yang hadir. Kita mempunyai banyak masa kerana bilangan tetamu adalah terhad. Semak juga Syarat Sah Nikah Itu Mudah

3. Baju Pengantin Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan

Sebagai bakal pengantin mesti kita akan rasa nak pakai baju pengantin baru. Sediakan dua pasang baju apabila tetamu datang kenduri, iaitu baju akad nikah dan baju apabila datang selepas majlis. Sekiranya pengantin lelaki, kita sesuai memakai baju Melayu. Pinjam samping daripada adik-beradik ataupun saudara-mara. Tidak perlu dibeli kerana dikhuatiri akan membazir. Apatah lagi sekiranya kita tidak selalu pergi ke majlis rasmi yang memerlukan baju Melayu lengkap.

baju pengantin

Untuk pakaian pengantin perempuan, dua pasang baju kurung sudah mencukupi. Sekiranya ingin lebih selesa, sediakan tiga pasang baju kurung baru, iaitu baju ketiga sebagai back up, sekiranya ada perkara di luar perancangan berlaku. Jika kakak ataupun abang masih ada baju kahwin, pinjam daripada mereka sudah tentu percuma.

4. Gambar Majlis Perkahwinan

Aku nak tanya sikit pada pasangan yang dah berkahwin. Gambar perkahwinan selepas 10 tahun ada kat mana? Yela dalam album, tapi album majlis perkahwinan tu letak kat mana? Biasanya gambar perkahwinan yang kita simpan sehingga ke anak cucu adalah hanya gambar akad nikah dan gambar selepas akad nikah bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Gambar lain, sebahagiannya mungkin akan hilang, koyak, dan rosak. Betul tak? Sekiranya CD mungkin tidak digunakan lagi pada zaman akan datang.

guest book

Mungkin kita hanya menonton CD pada hujung minggu pertama berkahwin, dan bulan pertama untuk sahabat handai yang datang berziarah. Selepas itu, tiada siapa yang mahu melihat CD itu termasuk kita sendiri. Tetapi, mengapa promosi gambar-gambar kahwin semakin bertambah? Itu adalah satu daripada cara ataupun seni memindahkan duit daripada poket kita kepada poket jurugambar.

Itu belum termasuk gambar-gambar kahwin yang tidak menjadi ataupun tersalah cetak atas nama orang lain. Sekiranya kita teringin mempunyai gambar kahwin yang cantik, dicadangkan, ambil gambar di dalam studio dan jadikannya sebagai kenangan.

Kita juga dapat melihat, individu yang baru berkahwin, apabila mendapat anak pertama, hampir setiap saat gambar itu diambil semasa membesar. Apabila mendapat anak kedua, hanya berpuluh-puluh keping gambar sahaja diambil. Apabila mendapat anak ketiga, bertambah kurang gambar anak yang diambil. Ini menunjukkan yang kita hanya bertindak di luar batasan pada peringkat awal. Oleh itu, lebih baik sekiranya kita dapat mengawal kewangan sebelum segalanya melepasi batasan kemampuan kita.

5. Kad Jemputan Majlis Perkahwinan

Untuk kad jemputan majlis raja sehari kita, bergantung pada berapa ramai jemputan kita. Sekiranya sekadar jiran seramai 40 orang hingga 150 orang, kita tidak perlu mencetak kad. Ini kerana, jiran terdekat di taman ataupun kampung kita sudah tahu di mana rumah kita berada. Mereka juga dapat mengingati tarikh kenduri kita tu.

kad kahwin

Sekiranya kita ingin menjemput lebih daripada 200 orang, baru kad jemputan kahwin diperlukan. Ada antara individu yang kita jemput itu tidak pernah datang ke rumah kita ataupun sudah terlupa jalan ke rumah kita. Bilangan jemputan untuk majlis perkahwinan yang tidak membebankan kita adalah kurang daripada 300 orang. Jemput sebahagian individu yang penting bagi menghadiri majlis perkahwinan kita.

6. Elakkan Majlis Pada Musim Cuti Persekolahan Kurangkan Kos Perkahwinan

Sekiranya bajet tiada, elakkan melaksanakan majlis perkahwinan menjelang cuti persekolahan. Ini kerana, sewa khemah dan segala kos kahwin turut naik. Ini termasuk sewa bilik hotel atau rumah tumpangan, sekiranya pasangan kita berasal dari negeri yang lain daripada tempat kita tinggal.

cuti sekolah

Kita boleh mencari homestay atau rumah tumpangan bagi membiayai kos tempat tinggal berhampiran dengan rumah pasangan. Sekiranya majlis berlangsung pada cuti sekolah, lebih ramai tetamu jauh yang hadir. Ini sekali gus menambahkan lagi kos perkahwinan kita. Semak Belanja Kahwin Mimpi Ngeri Pengantin Lelaki.

7. Emas Dan Permata

Disiplinkan diri bagi membeli sebentuk cincin belah rotan (plain gold) untuk diberikan kepada pengantin perempuan sebagai ikatan pertunangan. Cincin dengan permata, sebaik-baiknya adalah cincin emas kuning kerana mempunyai nilai harga dan mudah digadai selepas berkahwin sekiranya terpaksa. Ini semua bergantung pada bajet perkahwinan kita.

cincin kahwin

Gelang ataupun rantai adalah tidak perlu, sekiranya kita tidak mempunyai duit yang banyak. Selepas berkahwin dan dapat mengumpul banyak duit, baru kita membeli dan mengumpul emas, berlian, dan permata untuk hiasan diri.

8. Elakkan Majlis Pertunangan Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan

Bunyi macam pelik tapi aku rasa sekrang ni sudah ramai menyedari perkara ini. Sekiranya kita dapat mengelakkan majlis pertunangan, itu adalah cara terbaik. Cukup pergi ke rumah pengantin perempuan untuk majlis pertunangan tertutup. Tetamunya pula terdiri daripada keluarga terdekat kedua-dua pihak yang hadir.

bertunang

Mungkin dijemput juga jiran terdekat untuk lima hingga ke 10 orang sebagai saksi. Ini dapat mengelakkan banyak duit mengalir ke poket orang lain. Tukarkan majlis merisik itu menjadi majlis pertunangan. Jika ingin menjimatkan lagi, majlis merisik, majlis bertunang diadakan sekali semasa majlis pernikahan. Semak Syarat Sah Nikah Itu Mudah.

9. Duit Hantaran

Berbincang dengan bakal pasangan dan cari kata sepakat. Duit hantaran sebaik-baiknya digunakan bagi membeli rumah untuk pengantin perempuan, emas, dan juga membantu persiapan kahwin sedikit. Itu pun sekiranya ibu bapa pengantin perempuan tidak mempunyai wang. Bagi meraikan majlis perkahwinan itu, lebih baik dibuat secara ala kadar sahaja. Adakan majlis akad nikah sahaja, dan terus menjamu tetamu yang hadir. Tidak ada kenduri pada keesokan harinya.

gubahan hantaran

Ini sememangnya membantu duit kita daripada membazir. Ini juga membantu kita menurunkan kadar wang hantaran kepada tahap yang minimum. Sekadar menjaga air muka pengantin perempuan dan keluarga, RM1000 hingga RM5000 adalah sudah mencukupi sekiranya mampu. Itu adalah kadar yang sesuai pada masa kini. Walaupun hakikatnya kebanyakan ibu bapa sekarang meminta wang hantaran perkahwinan sehingga RM10000 hingga RM20000 sedangkan anaknya masak nasi pun hangus.

10. Kenduri Secara Bergotong-royong Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan

Mintalah bantuan jiran tetangga ataupun orang kampung. Ini bagi membantu kita menyediakan juadah makanan untuk tetamu nanti. Bekerja secara bergotong-royong juga dapat menjimatkan kos perkahwinan kita, berbanding menggunakan katering. Walau bagaimanapun, sekiranya tidak mampu, kita boleh mengupah tukang masak sahaja. Bahan mentah seperti ayam dan daging, disediakan oleh pihak kita.

kenduri

11. Barang Hantaran Yang Kurangkan Kos Perkahwinan

Beritahu mengenai hantaran yang kita inginkan kepada ahli keluarga, termasuk adik-beradik, bapa saudara, ibu saudara, dan juga rakan sepejabat ataupun rakan kita yang lain. Kita menawarkan peluang kepada individu yang mahu membuat pahala dengan menaja satu ataupun lebih barang hantaran.

hantaran

Senaraikan barangan yang diperlukan. Contohnya hantaran al-Quran, sejadah, kain sembahyang, dan lain-lain. Kita akan teruja apabila ramai individu yang menaja berbanding bilangan hantaran yang kita perlu sediakan. Tidak perlu membeli barangan yang berjenama. Cukup sekadar hantaran asas, kecuali keluarga kita dan bakal pasangan berasa tidak kisah.

Hapuskan hantaran yang kurang penting seperti baju, kasut, dan pewangi untuk pengantin lelaki. Kita juga dapat hadkan bilangan kepada lima hantaran sahaja, dan dibalas dengan tujuh hantaran.

12. Hiburan Perkahwinan Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan

Kompang ataupun deejay tidak perlu diadakan sekiranya kita tidak mempunyai duit lebih. Ini kerana, sekiranya dibuat juga, banyak duit akan habis. Contohnya, daripada membayar deejay, sudah pasti kita dapat membeli mesin basuh secara tunai. Kompang mungkin boleh dipertimbangkan.

hiburan perkahwinan

Cari bajet yang murah. Itu pun sekiranya kita mempunyai duit ekstra. Tanpa hiburan dalam majlis perkahwinan, hidup kita tetap bahagia. Tidak perlu bergaduh dengan pasangan perihal duit yang dibazirkan.

13. Berbulan Madu Gaya Tempatan Untuk Kurangkan Kos Perkahwinan

Berbulan madu gaya tempatan dapat membantu kita memasuki keluarga mentua kita dengan selamat dan bahagia. Kos berbulan madu gaya tempatan adalah rendah, tetapi tinggi kualitinya.

bulan madu

Tiada hasil kajian yang mengesahkan, orang yang pergi berbulan madu menjadi pasangan yang lebih bahagia berbanding pasangan yang tidak meraikan bulan madu gaya barat. Apabila kita tinggal di hotel, kadang kala bulan madu itu juga menjadi asas kepada keretakan rumah tangga. Lelaki terutamanya, dapat memandang lebih banyak perempuan cantik dalam tempoh itu. Kebnyakannya bercuti di tepi pantai atau di tempat peranginan. Jangan sampai pasangan kita terdetik perasaan menyesal apabila melihat orang lain.

14. Baju Nikah Yang Kurangkan Bajet Perkahwinan

Sekiranya ada adik-beradik ataupun saudara terdekat yang sudah berkahwin, pinjamkan baju nikah ataupun baju perkahwinan mereka. Sekiranya sesuai, kita tidak perlu mengeluarkan duit bagi menempah baju yang mungkin di pakai sekali sahaja. Banyak baju nikah yang ditempah dengan harga ratusan ringgit, akhirnya menjadi koleksi di dalam almari di rumah ibu bapa kita sahaja.

baju nikah

Tahniah kepada pasangan pengantin yang hanya memakai baju Melayu dan baju kurung sepanjang majlis berlangsung. Ini mempamerkan, betapa kita hidup dalam dunia realiti, tanpa menjadi raja dalam dunia khayalan. Baju-baju Melayu dan kurung itu dapat digunakan semula ke tempat kerja ataupun menziarahi saudara-mara dan kenalan selepas majlis berakhir.

Tamatlah sudah perkongsian tips untuk bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan secara kos rendah. Ingatlah, alam perkahwinan bukan setakat di hari majlis perkahwinan, ianya adalah sesudah majlis perkahwinan itu dilangsungkan. Semoga dengan sedikit perkongsian dapat kita sama-sama ingat mengingati antara satu sama lain. Sekian, terima kasih.

Baca juga: Kenapa Majlis Perkahwinan Lebih Praktikal Di Dewan Berbanding Di Rumah?

1 thought on “14 Tips Bakal Pengantin Kurangkan Kos Perkahwinan”

  1. Mohon maaf Lizz, sebab tak balas mesej kat ruang komen di blg saya.

    http://www.imanbekam.com

    Untuk pengetahuan Lizz, saya sudah stop operasi bekam sejak 1.8.2017 namun demikian, saya akan mulakan kembali operasi ini bermula hari ini setelah saya mengambil produk Byoung selama 1 bulan yang memberikan tenaga untuk saya terus memberi bakti kepada masyarakat. Ada kisah menarik di sebalik sharing ini.

    saya boleh dihubungi di talian 0199978427.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *